
Kapten Liverpool, Virgil van Dijk (kiri) meraikan kemenangan ke atas PSG bersama penjaga gol Alisson Becker pada aksi Liga Juara-Juara di Parc des Princes, Paris. – Foto AFP
PARIS: Virgil van Dijk percaya kesengsaraan Liverpool dalam Liga Juara-Juara berdepan Paris Saint-Germain (PSG) masih belum berakhir di sebalik kemenangan tipis 1-0 pada aksi pertama pusingan 16 terakhir di ibu negara Perancis itu.
The Reds dikuasai hampir keseluruhan perlawanan di Parc des Princes awal pagi semalam namun berjaya menahan asakan lawan dalam apa yang dianggap penjaga gol Alisson Becker sebagai persembahan “terbaik kehidupannya.”
Harvey Elliott tampil dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol kemenangan dengan sentuhan pertamanya pada minit ke-87.
Liverpool hanya ada dua percubaan berbanding PSG 27 percubaan tepat.
Ia kekalahan pertama kelab Paris itu dalam 23 perlawanan, catatan yang bermula sejak November.
Liverpool dijangka lebih mantap bagi aksi kedua di Anfield awal pagi Rabu depan, namun Van Dijk memberi amaran perlawanan itu belum berakhir.
“Ia sepatutnya satu perlawanan hebat dan kami perlu bersedia untuk merana kerana mereka satu pasukan yang amat bagus yang tidak kalah dalam tempoh yang amat lama,” kata kapten Liverpool itu.
“Apa yang saya benar-benar suka adalah kebersamaan, setiap pemain memberikan sumbangan dan kami tahu setiap pemain boleh bertindak lebih baik lagi.”
Van Dijk bersetuju persembahan secara bertahan bukanlah sesuatu yang biasa buat pendahulu Liga Perdana Inggeris itu namun menyanjung lawan “bertaraf dunia” yang dihadapi mereka.
“Kami tidak mahu bermain dengan cara ini kerana setiap orang yang bermain bola sepak mahu memegang bola dengan kerap dan mahu mendominasi lawan,” katanya.
“Tetapi kami bermain menentang satu pasukan yang penuh kualiti, kualiti bertaraf dunia dan mereka menyukarkan setiap orang di dunia setakat ini dan mereka menyukarkan kami tetapi kami menemui jalan dan kami akan cuba menamatkan cabaran mereka minggu depan.” – AFP