LONDON: Liverpool menempah tiket separuh akhir Piala Liga selepas juara bertahan menewaskan Southampton 2-1 manakala Gabriel Jesus menamatkan kemarau jaringan dengan meledak hatrik ketika Arsenal mengatasi Crystal Palace 3-2, awal pagi tadi.
Dua jaringan daripada Darwin Nunez dan Harvey Elliott di St Mary membolehkan juara 10 kali Piala Liga itu mara ke peringkat empat terakhir untuk kali ke-20.
Selepas dikejutkan Fulham dengan keputusan seri 2-2 dalam saingan Liga Perdana Inggeris minggu lalu, Liverpool kembali bangkit apabila meraih kemenangan ke-20 daripada 24 perlawanan semua kejohanan di bawah kendalian Arne Slot yang hanya tewas sekali sejak tiba dari Feyenoord untuk menggantikan Jurgen Klopp.
Slot yang menyaksikan aksi suku akhir dari tempat duduk penonton susulan hukuman ke atasnya merehatkan Mohamed Salah dan Virgil van Dijk ketika pendahulu Liga Perdana Inggeris itu melakukan lapan pertukaran.
Namun, Liverpool jelas masih terlalu kuat untuk Southampton dan Nunez menamatkan prestasi buruknya akhir-akhir ini dengan penyudah tepat selepas mendapat hantaran Trent Alexander-Arnold pada minit ke-24.
Ia hanya gol keempat Nunez dalam semua kejohanan setakat ini dalam musim yang sukar buat penyerang Uruguay terbabit yang kemarau jaringan dalam enam perlawanan.
Elliott menggandakan kedudukan Liverpool pada minit ke-32 menerusi rembatan rendah menewaskan penjaga gol Alex McCarthy untuk jaringan pertamanya musim ini.
Cameron Archer mengurangkan defisit pada minit ke-59 hasil rembatan lencung dalam kotak penalti.
“Permainan sangat bagus dan kemenangan yang penting. Kami melihat ramai pemain yang jarang diturunkan sebelum ini,” kata Slot.
“Kami menguruskannya dengan baik dan hanya melepaskan satu atau dua peluang. Kami perlu pertahankan trofi ini kerana kelab memenanginya musim lalu.”
Di Stadium Emirates, penyerang Brazil Jesus akhirnya kembali berbisa di tempat sendiri kali pertama tahun ini.
Gol terakhir Jesus dalam 20 penampilan semua kejohanan musim ini ketika menentang kelab divisyen dua Preston dalam aksi Piala Liga.
Jaringan pertama pemain berusia 27 tahun itu dalam sembilan perlawanan tepat pada masanya selepas Arsenal diejek ketika seri 0-0 dengan Everton dalam saingan liga.
Gunners yang kali terakhir menjuarai Piala Liga pada 1993 kini ketinggalan enam mata di belakang Liverpool dan Mikel Arteta melakukan lapan pertukaran dengan fokusnya lebih tertumpu aksi ulangan menentang Palace dalam saingan Liga Perdana Inggeris Sabtu ini.
Namun Arsenal dikejutkan dengan gol pendahuluan lawan apabila Jean-Philippe Mateta menghukum kelonggaran pertahanan tuan rumah pada minit keempat.
Arsenal meningkat asakan selepas rehat dan Jesus menyamakan kedudukan menerusi lambungan minit ke-54 sebelum meletakkan pasukannya di depan minit ke-73.
Jesus melengkapkan hatriknya dengan satu lagi penyudah tepat minit ke-81 manakala tandukan bekas penyerang Arsenal Eddie Nketiah empat minit kemudian terlalu lewat untuk menyelamatkan Palace.
“Kadangkala saya berdepan masalah dengan kekurangan gol,” kata Jesus. “Saya bekerja keras ketika latihan dan meletakkan diri saya dalam posisi yang bagus. Saya fikir usaha gigih saya berbaloi.”
Dalam perlawanan di St James’ Park, Sandro Tonali menjaringkan dua gol ketika Newcastle menewaskan Brentford 3-1.
Pengurus Magpies Eddie Howe menurunkan skuad terakhir dan meraih kemenangan bergaya dalam misi mengulangi kejayaan mereka mara ke final Piala Liga 2023.
Newcastle yang tidak pernah menjuarai trofi utama sejak Piala Antara Bandar 1969 mendahului hasil jaringan Tonali dari tepi kotak penalti pada minit kesembilan.
Pemain tengah Itali itu sekali lagi meledak gol dua minit sebelum rehat dan Fabian Schar menjaringkan gol hasil tolakan jarak dekat pada minit ke-69 manakala Yoane Wissa mengurangkan defisit untuk Brentford pada masa kecederaan.
Aksi terakhir suku akhir menyaksikan Tottenham melayan kunjungan Manchester United awal pagi esok. – AFP