PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak akan memasarkan mesin pintar memetik buah sawit yang berteknologi baharu keluaran Sarawak Plantation Bhd (SPB) ke Semenanjung serta negara penanam kelapa sawit di Asia Tenggara hingga Afrika.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, mesin berteknologi baharu yang dinamakan ‘Lipan’ dan ‘Kerbau’ ini mempunyai keupayaan luar biasa untuk menuai kelapa sawit sehingga 1.2 tan dalam masa dua minit.
Katanya, ia menunjukkan bahawa Sarawak mesti mengubah cara pengurusan industri sawit dan tidak lagi bergantung kepada pekerja asing.
“Teknologi asas sudah ada, kita hanya perlu memperbaiki lagi kecekapan dan ini mesti dijalankan oleh sebuah syarikat.
“Jadi, kita membawa syarikat sektor swasta seperti SPB dan mengajak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk menjadi rakan ekuiti dalam syarikat tersebut, dan kerajaan Sarawak akan turut terlibat.
“Ini adalah satu perkara baru yang sudah mempunyai hak paten. Oleh itu, kita akan menjadi pengeluar utama dalam industri kelapa sawit, di mana pemain industri boleh membeli mesin kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Pemindahan Teknologi Sawit di Kompleks Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Sarawak di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Abang Johari turut menjelaskan bahawa sehingga Ogos 2024, jumlah eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit mencatatkan 3.13 juta tan dengan nilai eksport mencecah lebih RM11.02 bilion.
“Ini merupakan peningkatan sebanyak 13 peratus berbanding RM9.78 bilion pada tempoh sama 2023.
“Sektor sawit juga penting bagi kemajuan sosioekonomi penduduk luar bandar yang terlibat mengusahakan tanaman sawit dan peluang pekerjaan di sepanjang rantaian industri sawit di peringkat huluan, pengilangan dan industri hiliran,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari turut melancarkan Baja MPOB F2 Super K dan MPOB F3, yang dihasilkan melalui penyelidikan MPOB, menawarkan nutrien lengkap berdasarkan jenis tanah dan memperluas bekalan baja kepada penanam sawit di Sarawak.
Pada majlis sama, beliau juga telah menyaksikan dua pertukaran dokumen perjanjian antara MPOB dengan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) mengenai kerjasama penyelidikan dan pengkomersialan teknologi MPOB bagi formulasi pelet makanan ternakan berasaskan sawit.
Selain itu, perjanjian antara MPOB dengan Mygro Trading Sdn. Bhd. pula bertujuan untuk mengkomersialkan teknologi ejen kawalan biologi untuk mencegah jangkitan kulat ganoderma boninense yang menjejaskan pengeluaran hasil tanaman sawit dan pendapatan pengusaha ladang.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Dato Abdul Hadi Omar mewakili Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom serta dua timbalannya, Datuk Martin Ben dan Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail serta Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Mohd Helmy Othman Basha.
Oleh Mohd Neenatul Aizal