
VIENNA, Austria: Sebuah kumpulan perlindungan data terkemuka pada hari ini memfailkan aduan di Austria terhadap LinkedIn berhubung dakwaan penjualan data pengguna oleh platform rangkaian profesional tersebut.
Kumpulan yang berpangkalan di Vienna, Noyb (None of Your Business) memaklumkan bahawa pihaknya telah mengemukakan aduan kepada Pihak Berkuasa Perlindungan Data Austria bagi pihak seorang pengguna LinkedIn yang menuntut akses kepada data peribadinya.
Pengguna berkenaan menuntut jawapan penuh terhadap permintaan aksesnya, menurut kumpulan itu, yang turut memaklumkan bahawa pihaknya memohon agar denda dikenakan terhadap LinkedIn.
Menurut Noyb, platform milik Microsoft itu didakwa menggunakan alasan kebimbangan perlindungan data bagi mengelak daripada mematuhi permintaan akses tersebut.
Pada masa yang sama, syarikat berkenaan didakwa meminta pengguna melanggan perkhidmatan premium berbayar sekiranya mereka ingin mengetahui siapa yang telah melawat halaman profil mereka, menurut Noyb.
“Pengguna berhak menerima data mereka sendiri secara percuma,” kata peguam perlindungan data Noyb, Martin Baumann.
Menurut Noyb lagi, status undang-undang berkaitan penjejakan pelawat tersebut adalah tidak jelas kerana syarikat itu didakwa tidak mendapatkan persetujuan secara aktif daripada pengguna.
Noyb telah memfailkan ratusan kes undang-undang yang sering mendorong tindakan pihak berkuasa kawal selia terhadap syarikat teknologi gergasi.
Kumpulan itu mula beroperasi pada tahun 2018 susulan pelaksanaan Peraturan Perlindungan Data Umum Kesatuan Eropah (GDPR), yang bertujuan memberi kawalan lebih besar kepada individu terhadap penggunaan data peribadi mereka oleh syarikat. – AFP