Lima wanita terselamat daripada diperdagangkan 

Facebook
WhatsApp

KUCHING: Seramai lima wanita warga asing berusia antara 24 hingga 29 tahun berjaya diselamatkan oleh Unit D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sarawak.

Lima wanita berkenaan dijumpai di sebuah bangunan tingkat 3 di Jalan Setia Raja menuju ke Tabuan Jaya dipercayai diperdagangkan untuk eksploitasi seksual.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, dua suspek berusia 23 dan 25 tahun telah diberkas dalam serbuan mengejut pada petang Jumaat di Jalan Setia Raja.

Polis terpaksa membuka paksa premis yang berkunci rapat dari luar dan pergerakan mangsa dikawal oleh CCTV yang dipasang di sekitar premis. Pasport milik mangsa turut dirampas.

Tangkapan dan rampasan adalah di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007. Jika sabit kesalahan, tambahnya, pesalah boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh juga didenda.

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 dan boleh dipenjara tidak lebih 5 tahun.

Menurut Azman, siasatan awal mendapati kesemua mangsa yang memasuki Sarawak dipaksa melayan pelanggan di premis hiburan dan hotel termasuk melakukan aktiviti seks dengan bayaran tertentu.

Mangsa didapati berada di Sarawak antara tiga minggu hingga lima bulan. Kesemua mangsa akan dihantar ke pusat perlindungan wanita di Kota Kinabalu, Sabah untuk siasatan lanjut.

Azman menyeru orang ramai untuk bekerjasama dengan polis untuk membanteras pemerdagangan manusia dan jenayah lain. Katanya, rakyat perlu peka dengan keadaan sekeliling.