KUCHING: Lima usul akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula 9 hingga 13 November 2020 ini.
Menurut Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, persidangan DUN Sarawak kali ini akan diadakan hari ini, 9 Mei 2020.
“Lima rang undang-undang akan dibentangkan iaitu berkaitan dengan bekalan (2021) 2020, pembekalan tambahan (2020) 2020, langkah sementara untuk mengurangkan kesan penyakit koronavirus (2019), 2020, pihak berkuasa tempatan (pindaan) 2020 dan rang undang-undang perlembagaan negeri Sarawak (pindaan) 2020.
“Rang undang-undang tersebut akan dibentangkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kewangan II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato’ Sri Profesor Dr. Sim Kui Hian dan Menteri Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul karim Rahman Hamzah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Prapersidangan DUN yang dihadiri oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan ahli-ahli kabinet negeri lain di ibu pejabat PBB di sini, semalam.
Asfa turut berkata, setakat 26 oktober 2020 sebanyak 342 soalan diterima daripada 45 ahli-ahli berhormat.
“Daripada 342 soalan, 294 akan dijawab secara lisan dan 48 akan dibalas.
“Setakat semalam, 7 November, sebanyak 47 laporan tahunan, laporan kewangan tahunan, hansard, undi dan prosiding serta enam kertas arahan telah diserahkan kepada setiausaha DUN,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa, jika sebelum ini setiap DUN diberikan masa 20 minit untuk berucap pada hari pertama persidangan dan 15 minit pada hari kedua, peraturan sama akan digunakpakai pada persidangan kali ini.
“Tiada pemendekan masa untuk DUN berucap kali ini kerana belanjawan negeri akan dibentangkan adalah penting untuk negeri Sarawak, sekiranya ada ahli dewan yang masih mahu berucap, kita melanjutkan masa melebihi 6.30 petang.
“Oleh itu, kita mahu jumlah maksimum ADUN yang turut serta dalam perbahasan tersebut, ucapan penggulungan dari tiga timbalan ketua menteri akan diadakan pada sesi pagi 13 November diikuti dengan ucapan penggulungan Abang Johari pada jam 3 petang,” jelasnya.