
MIRI: Taktik dua suspek yang berpura menjadi pelanggan di sebuah kedai emas akhirnya terbongkar apabila mereka bersama tiga individu lain ditahan polis kurang empat jam selepas melarikan dua utas rantai emas bernilai lebih kurang RM10,000.
Menurut kenyataan Polis Daerah Miri hari ini, dalam kejadian yang berlaku pada hari Sabtu, sekitar 12.00 tengah hari di sebuah premis di Jalan High Street di sini, sepasang suami isteri yang berpura-pura hendak membeli emas telah berada di dalam kedai selama lebih 20 minit.
Mereka kemudian mengambil kesempatan melarikan dua utas rantai emas jenis 916 seberat 18.8 gram sebelum meloloskan diri dengan menaiki sebuah kereta sewa jenis Perodua Aruz yang diparkir berhampiran.
Hasil siasatan pantas oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Miri bersama anggota RCJ Balai Polis Pusat Miri membawa kepada penahanan lima suspek, termasuk dua wanita, di beberapa lokasi sekitar bandar ini, antaranya di sebuah bilik sewa di Jalan Kwang Tung.
Kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun dan empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kesalahan berkaitan dadah.
Turut dirampas dalam serbuan ialah wang tunai berjumlah RM2,000 dan kereta sewa yang digunakan semasa kejadian.
Pihak polis juga berjaya mengesan bahawa emas yang dicuri telah dijual kepada sebuah premis pengurup wang berdekatan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan kesemua suspek sedang direman untuk membantu siasatan lanjut.
Polis turut mengingatkan pemilik premis perniagaan supaya lebih berhati-hati dan memasang sistem keselamatan yang berkesan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
Oleh Adum Liu