BINTULU, 10 November: Sarawak menggariskan empat inisiatif strategik menerusi Kluster Perindustrian Peralihan (TIC) bagi memperkukuh kedudukan Bintulu sebagai hab industri rendah karbon, sekali gus meningkatkan daya saing sektor perindustrian negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata inisiatif berkenaan merangkumi operasi pembuatan pintar, pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), simbiosis industri serta pembangunan bakat teknikal.
Beliau berkata pelaksanaan inisiatif itu penting bagi memastikan sektor perindustrian beroperasi dengan lebih cekap, mengoptimumkan penggunaan sumber dan mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
Menurutnya, inisiatif pertama, Operasi Pembuatan Pintar (Smart Manufacturing Operations), memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi digital, automasi dan pengurusan berasaskan data bagi meningkatkan produktiviti serta kecekapan operasi industri.
“Inisiatif pertama adalah mewujudkan operasi pembuatan pintar. Apabila kita mempunyai pengurusan pintar, kita bukan sahaja menjaga alam sekitar, malah meningkatkan produktiviti industri melalui penggunaan teknologi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Bintulu Sustainability Awards (BiSA) 2026 di Hotel Imperial, di sini, semalam.
Abang Johari berkata inisiatif kedua, Sarawak CCUS Hub, bertujuan meneroka potensi teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon, termasuk pembangunan aktiviti ekonomi baharu berasaskan teknologi berkenaan.
Katanya, inisiatif ketiga, Simbiosis Industri, menggalakkan kerjasama antara syarikat industri melalui perkongsian sumber dan penggunaan hasil sampingan pengeluaran bagi meningkatkan kecekapan penggunaan bahan mentah serta mengurangkan pembaziran.
Sementara itu, inisiatif keempat, Inisiatif Pembangunan Bakat TIC Bintulu, memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dan kemahiran teknikal tenaga kerja tempatan bagi memenuhi keperluan industri pada masa hadapan.
Beliau berkata pembangunan ekonomi baharu memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu mengendalikan teknologi serta memenuhi keperluan industri yang semakin kompleks.
“Kita memerlukan sumber manusia dan tenaga kerja teknikal yang berkebolehan supaya mereka dapat menguruskan ekonomi baharu, khususnya apabila teknologi semakin berkembang dan industri memerlukan kepakaran yang lebih khusus,” katanya.
Menurutnya, keempat-empat inisiatif itu selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang meletakkan kelestarian alam sekitar sebagai satu daripada tiga tonggak utama pembangunan Sarawak, selain kemakmuran ekonomi dan keterangkuman sosial.
Beliau berkata komitmen Sarawak terhadap pembangunan rendah karbon turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Bintulu diiktiraf sebagai antara 39 kluster industri rendah karbon baharu di dunia oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF).
Pengiktirafan itu mencerminkan usaha Sarawak meneroka pembangunan industri berasaskan teknologi hijau serta mengurangkan pelepasan karbon.
Dalam majlis sama, Abang Johari menyempurnakan penyampaian Anugerah Kepimpinan Kelestarian BiSA kepada 12 penerima, Geran Kelestarian BiSA kepada tiga penerima dan Anugerah Khas BiSA kepada empat penerima.
Oleh Carolyne Utih





