
SERIAN: Lima sekeluarga termasuk seorang bayi perempuan maut dalam kemalangan kendiri di Jalan Baki Lama-Ensengei di sini pagi tadi.
Dalam kejadian yang dilaporkan pada 8.41 pagi itu, kenderaan yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebatang paip air di tepi jalan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian dikerahkan ke lokasi dan tiba pada 9.04 pagi.

“Kemalangan itu melibatkan lima mangsa terdiri daripada seorang lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa dan seorang bayi perempuan.
“Pasukan bomba mengeluarkan empat mangsa dewasa yang tersepit di dalam kenderaan, manakala seorang bayi perempuan ditemui orang awam berhampiran lokasi kejadian dan dipercayai tercampak keluar daripada kenderaan semasa kemalangan berlaku.
“Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, mayat semua mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi melibatkan lima anggota dengan kekuatan sebuah jentera bomba dan penyelamat serta sebuah kenderaan perkhidmatan penyelamatan perubatan kecemasan (EMRS).
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 9.51 pagi,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah