Lima projek solar bangunan kerajaan siap lebih awal, kapasiti 779.86 kilowatt – Nanta

Facebook
WhatsApp
MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berucap pada Majlis Penyerahan Projek Pemasangan Sistem Fotovolta Suria (Grid Connected PV System) oleh Kementerian Kerja Raya kepada KLN dan tiga lagi premis kerajaan, di sini hari ini. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 14 Oktober: Lima projek pemasangan sistem fotovolta suria tersambung grid (GCPV) di bangunan kerajaan berjaya disiapkan dengan kapasiti terpasang keseluruhan 779.86 kilowatt, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata projek pemasangan GCPV di bangunan kerajaan itu berjaya disiapkan lebih awal dari tarikh asal tanpa sebarang lanjutan masa.

Projek berkenaan melibatkan Fasa 1 dan Fasa 2 di premis Kementerian Luar (KLN) selain Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Penyerahan ini merupakan langkah nyata dalam memperluas penggunaan tenaga bersih di premis kerajaan, sekali gus mengurangkan kos operasi dan menyokong pengurusan aset awam yang lebih mampan.

“Seiring dengan aspirasi negara ke arah pembangunan mampan dan rendah karbon, aspek kelestarian perlu diberi penekanan dalam pembangunan infrastruktur awam, merangkumi keseluruhan kitar hayat aset, bermula daripada peringkat reka bentuk, pemilihan bahan dan pembinaan hinggalah kepada pengoperasian serta penyelenggaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Pemasangan GCPV oleh Kementerian Kerja Raya kepada KLN dan tiga lagi premis kerajaan di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Nanta berkata Jabatan Kerja Raya turut melaksanakan pemasangan GCPV serta sistem solar fotovolta luar grid atau Off-Grid Solar melibatkan 46 bangunan Kerajaan Persekutuan, 283 sekolah luar bandar di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia, empat pos sempadan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta sebuah kampung Orang Asli.

“Pelaksanaan projek-projek ini berpotensi menjana penjimatan kos tenaga sehingga RM115 juta setahun berbanding penggunaan bekalan elektrik konvensional,” katanya.

Beliau berkata program pemasangan sistem solar di bangunan kerajaan yang diterajui oleh Kementerian Ekonomi menerima peruntukan sebanyak RM57.6 juta, dengan sasaran awal kapasiti pemasangan sembilan megawatt di Semenanjung Malaysia.

Setakat September lepas, Nanta berkata sebanyak lapan projek melibatkan 23 bangunan dengan kapasiti 5.8 megawatt telah tamat Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP), manakala tujuh projek melibatkan 11 bangunan dengan kapasiti 2.09 megawatt masih dalam tempoh berkenaan.

Tiga lagi projek melibatkan 11 bangunan dengan kapasiti 1.29 megawatt sedang dalam pembinaan, manakala satu projek berkapasiti 0.5 megawatt melibatkan sebuah bangunan masih di peringkat perolehan.

“Apabila kesemua sistem beroperasi sepenuhnya, program ini diunjurkan menjana kira-kira 13,200 megawatt-jam elektrik setahun, dengan potensi penjimatan kasar bil elektrik kerajaan kira-kira RM5.5 juta setahun,” katanya. – Bernama