SARIKEI: Sebanyak lima badan bukan kerajaan (NGO) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah menerima cek projek khas.
Cek tersebut diserahkan oleh Gung Chiu Kion selaku wakil Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Sarikei, hari ini.
Lima NGO dan JKKK yang menerima cek adalah Persatuan Keluarga Polis Meradong (PERKEP), Persatuan Sukan Petanque Daerah Meradong, Persatuan Pengurusan Tanah Perkuburan Hock Teck Bintangor, Gereja Methodist Iban Pasar Bintangor dan JKKK Sungai Meradong.
Tiong Sii menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Chiu Kion berkata, NGO memainkan peranan yang penting dalam pelbagai bidang seperti sosial, kesihatan dan pendidikan.
“Selain itu, NGO juga berperanan membantu golongan kurang bernasib baik seperti orang miskin, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan yang memerlukan bantuan.
“Saya berharap sumbangan yang dihulurkan ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau juga menggesa semua organisasi masyarakat supaya lebih aktif dalam membantu menangani pelbagai isu sosial, ekonomi dan kebajikan di kawasan masing-masing.
Oleh Earl Anek