

KUCHING: Lima lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan kerja dalam talian yang beroperasi sebagai pusat panggilan di Kenyalang Park di sini.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata suspek berusia antara 23 hingga 42 tahun itu ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) serta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sarawak kira-kira 6.30 petang, 25 Mei lalu.
Menurutnya, polis turut merampas peralatan komputer, telefon bimbit serta peranti berkaitan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti penipuan kerja dalam talian yang tidak wujud.
“Hasil semakan dan analisa awal mendapati sindiket ini beroperasi sebagai pusat panggilan yang menjalankan aktiviti penipuan kerja secara dalam talian dengan menyasarkan mangsa dari negara jiran.
“Kesemua individu yang ditahan dipercayai bekerja sepenuh masa dalam aktiviti tersebut,” katanya hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana pakatan jahat jenayah.
Semua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching pada 26 Mei bagi permohonan reman dan mahkamah membenarkan tahanan reman selama empat hari.
Alexson turut menggesa orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan bekerjasama dengan pihak polis dalam usaha mencegah jenayah.
Sebarang maklumat boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444.
Oleh Connie Chieng