Li Hsuen tebus kecewa Sukma lalu, julang emas lawan pedang

Facebook
WhatsApp
LEE Li Hsuen krtika ditemui pemberita selepas acara epee individu wanita di Pusat Sukan UiTM Shah Alam, hari ini.

KUALA LUMPUR: Dua tahun selepas sekadar menduduki tempat ke-10 pada penampilan sulungnya di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024, atlet lawan pedang Sarawak, Lee Li Hsuen, 15, bangkit dengan penuh bergaya apabila meraih pingat emas acara epee individu wanita pada Sukma Selangor 2026, hari ini.

Lebih manis, kejayaan itu hadir hasil kerja keras berterusan atlet cilik berkenaan yang tidak pernah berhenti menjalani latihan sejak temasya Sukma lalu.

Li Hsuen berkata, kemenangan tersebut memberikan kepuasan besar selepas segala usaha yang dicurahkan selama dua tahun akhirnya membuahkan hasil.

“Saya sangat gembira dan rasa segala kerja keras saya akhirnya membuahkan hasil. Saya rasa sangat puas dengan pencapaian ini,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak selepas pertandingan di Pusat Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, hari ini. 

Menurutnya, dia tidak terlalu yakin mampu memenangi emas sebelum memasuki saingan akhir kerana acara lawan pedang penuh dengan ketidakpastian dan kesilapan kecil boleh mengubah keputusan perlawanan.

Katanya, sepanjang saingan hari ini juga dia berdepan beberapa perlawanan sengit, termasuk tewas dua pusingan dalam peringkat kumpulan.

“Saya sebenarnya tidak begitu yakin kerana dalam lawan pedang banyak perkara yang tidak dapat dijangka. Kadang-kadang kita melakukan satu kesilapan dan itu boleh mengubah segalanya.

“Hari ini saya melalui banyak perlawanan yang sengit. Dalam kumpulan pun saya kalah dua pusingan. Jadi, semuanya bergantung kepada keadaan pada ketika itu dan saya sangat gembira kerana berjaya melakukannya,” katanya.

LEE Li Hsuen meraikan kemenangannya.

Ditanya rahsia kebangkitannya ketika berdepan mata kritikal, Li Hsuen berkata dia memilih untuk memberi tumpuan kepada mata seterusnya tanpa memikirkan keputusan akhir.

“Saya hanya fokus kepada mata seterusnya. Saya tidak mahu fikir sama ada saya akan menang atau kalah. Tidak kira mata berapa, saya hanya cuba memberikan yang terbaik,” katanya.

Li Hsuen turut mendedikasikan kejayaan tersebut kepada Majlis Sukan Negeri Sarawak, jurulatih kelabnya di USJ Fencing serta ibu bapanya yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan dalam sukan berkenaan.

Katanya, sokongan ibu bapanya menjadi antara sumber motivasi utama kerana mereka tidak pernah memberikan tekanan kepadanya untuk memenangi pertandingan.

“Mereka banyak memberikan sokongan. Mereka tidak pernah memberi tekanan kepada saya untuk menang, sebaliknya sentiasa memberitahu supaya saya buat yang terbaik.

“Sebelum Sukma ini saya memang berasa sedikit gementar, jadi saya sangat menghargai ibu bapa kerana tidak memberi tekanan dan sentiasa menyokong saya,” katanya.

Li Hsuen yang kini bersekolah di Sekolah Antarabangsa TCIS, Kuala Lumpur, mengakui statusnya sebagai atlet dari Kuala Lumpur yang mewakili Sarawak tidak menghalang dirinya untuk terus bersama kontinjen negeri itu.

Malah, dia menyatakan komitmen untuk terus mewakili Sarawak pada edisi Sukma akan datang selepas mendapat peluang serta sokongan daripada kontinjen berkenaan.

AKSI EMAS… Atlet lawan pedang Sarawak, Lee Li Hsuen beraksi dalam acara epee individu wanita pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 di Pusat Sukan UiTM Shah Alam, hari ini.

“Saya sangat menghargai peluang yang diberikan kepada saya. Jadi saya tidak akan berpindah-randah mewakili negeri lain kerana itu tidak betul,” katanya.

Li Hsuen yang baru berusia 15 tahun itu masih mempunyai banyak peluang untuk menambah koleksi pingatnya di pentas Sukma dan akan kembali beraksi dalam acara berpasukan pada Sabtu ini.

Untuk saingan tersebut, dia hanya mahu mengekalkan pendekatan sama dengan memberikan tumpuan kepada satu mata pada satu-satu masa.

“Saya akan cuba buat yang terbaik dan fikir satu mata pada satu-satu masa,” katanya.

Kejayaan Li Hsuen sekali gus menyaksikan pemain muda dari Kuala Lumpur yang memilih Sarawak sebagai pentas perjuangannya itu membalas kepercayaan diberikan dengan emas, sekali gus mengukuhkan lagi barisan lawan pedang Sarawak di Sukma Selangor 2026.

Oleh Shahrul Qaizat