Lelaki warga asing ditahan miliki senapang angin buatan sendiri di Mukah

Facebook
WhatsApp
SEORANG lelaki warga asing berusia 52 tahun yang sedang memohon status pemastautin tetap (PR) ditahan polis selepas disyaki memiliki senapang angin buatan sendiri tanpa lesen sah. Foto IPD Mukah

MUKAH, 14 Oktober: Seorang lelaki warga asing berusia 52 tahun yang sedang memohon status pemastautin tetap (PR) ditahan polis selepas disyaki memiliki senapang angin buatan sendiri tanpa lesen sah dalam satu operasi di Daerah Mukah, semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias, berkata tangkapan dilakukan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah kira-kira 11.00 pagi di Jalan Haji Mohd Fauzi, di sini.

Beliau berkata, operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat dan risikan berkaitan pemilikan senjata api oleh suspek.

Menurutnya, suspek kemudian membawa pasukan polis ke sebuah pondok persendirian di Jalan Balingian-Tatau, Balingian, kira-kira 2.30 petang dan menunjukkan lokasi senjata berkenaan disimpan.

“Hasil tindakan itu, pihak polis merampas satu laras senapang angin buatan sendiri, sebotol spirit dan dua biji peluru untuk dijadikan barang kes,” menurut kenyataan media Ketua Polis Daerah Mukah yang dikeluarkan pada hari ini.

Siasatan awal mendapati suspek mengaku memiliki serta membuat sendiri senapang angin berkenaan. Suspek turut menyatakan senjata itu dibuat untuk tujuan memburu tupai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tanpa lesen yang sah.

Suspek yang bekerja sebagai petani direman selama dua hari sehingga 16 Oktober ini bagi membantu melengkapkan siasatan.

Dalam pada itu, Polis Daerah Mukah menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pemilikan atau penggunaan senjata api yang menyalahi undang-undang.

Polis turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang berkaitan senjata api.

Oleh Adi Safarman