MIRI: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki menyeludup 900 bungkus rokok tanpa cukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam satu serbuan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis (IPD) Miri.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek berumur 26 tahun itu ditangkap dalam satu serbuan di Jalan North Yu Seng di sini sekitar 3.30 petang, kelmarin.
“Dalam Ops Kontraban, pihak polis telah menangkap seorang lelaki warganegara asing dan turut merampas pelbagai jenis rokok disyaki tanpa bayar cukai JKDM.
“Rampasan berupa 900 bungkus rokok pelbagai jenis dan anggaran nilai barang ialah RM4,395,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, satu kertas siasatan katanya dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.
Permohonan reman suspek telah dikemukakan di hadapan Mahkamah Majistret Miri dan diluluskan selama 10 hari untuk membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah, disarankan untuk tampil ke mana-mana balai polis berdekatan untuk perkongsian maklumat atau menghubungi talian 085-433730.
Oleh Adum Liu