SIBU: Seorang lelaki kerugian RM12,997 selepas terperdaya dengan tawaran kerja bidaan gambar di laman web Christies Estimate (Lelong Barang) yang tidak wujud, menerusi laman media sosial.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili (gambar) berkata, pada 30 Januari lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, IPD Sibu menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki berusia dalam lingkungan umur 50-an.
“Mangsa telah berkenalan dengan seorang wanita bernama Lapy Tyda dan telah diperdaya dengan tawaran kerja bidaan gambar di laman web Christies Estimate (Lelong Barang) yang tidak wujud di laman media sosial.
“Mangsa telah berurusan melalui aplikasi Wechat pada 27 Januari lalu kerana tertarik tawaran komisen yang tinggi dengan membuat tawaran jualan ke atas gambar lukisan pasu bunga ‘small Chinese Blue and White Jar and cover’.
“Mangsa diberikan komisen diantara AS$1 sehingga AS$15 bagi satu unit barangan,” katanya dalam kenyataan media sebentar tadi.
Zulkipli berkata, pada 25 hingga 29 Januari lalu, mangsa telah membuat pembayaran sebanyak RM12,997 melalui empat kali transaksi ke atas tiga akaun bank, dengan setiap kali pembayaran mangsa diberitahu akan menerima komisen dan pulangan tinggi.
“Namun sehingga laporan dibuat, mangsa tidak menerima apa-apa pulangan dan keuntungan. Kesemua wang bagi tujuan mendapatkan komisen bagi bidaan gambar lukisan ini adalah daripada wang simpanan milik mangsa,” katanya.
Sebagai langkah pencegahan, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan dahulu sebelum membuat sebarang pindahan wang atas talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dengan tawaran keuntungan atau pulangan yang tinggi dan menyemak status dengan Bank Negara Malaysia terlebih dahulu agar tidak terpedaya,” katanya.
Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, boleh dirujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 atau CCID Scam Response Center di talian 03- 26101559 / 03-26101599 dan ikuti laman facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM.
Buat juga semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/
Oleh AKUN GIMAN