SIBU: Menyamar dari jabatan kerajaan adalah antara modus operandi sindiket penipuan perniagaan sebagai pembekal secara atas talian sejak kebelakangan ini.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa lelaki tempatan, 30-an, peniaga barangan perkakasan menerima panggilan telefon daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Pejabat Pendidikan Sarikei bernama Simon.
“Suspek menawarkan tender membekal dan menghantar bahan mentah (bahan binaan) ke sekolah Daerah Sarikei kepada mangsa.
“Pada 14 November, suspek memaklumkan bahawa mangsa telah berjaya mendapat tender tersebut dan meminta mangsa menandatangani surat setuju terima tender dari Kementerian Pendidikan dalam bentuk PDF dan What’sApp semula kepada suspek selepas ditandatangan,” katanya menerusi siaran media.
Katanya, pada 15 November, suspek menghubungi mangsa mengatakan terdapat penambahan barang yang dibekalkan iaitu satu stesen janakuasa bernama Ecoflow Delta Pro 4000W, namun mangsa memaklumkan barang tersebut sukar diperoleh.
“Pada 20 November, suspek telah memberikan nombor pembekal atas syarikat BMC Homez Legacy untuk tujuan pembelian dengan pihak tersebut.
“Pada hari sama, mangsa telah berhubung dengan syarikat tersebut melalui What’sApp dengan seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Jenny.
“Suspek (Jenny) memberikan invois berkaitan Ecoflow Delta Pro 3 4000W bernilai RM30,998 dan meminta mangsa membuat pembayaran sepertimana dalam invois tersebut, tetapi mangsa tidak dapat membayar jumlah keseluruhan itu.
“Mangsa kemudiannya telah menerima panggilan dari syarikat di Pulau Pinang memaklumkan dapat membantu membuat pembayaran RM6,000 terlebih dahulu kepada syarikat BMC Homez Legacy.
“Mangsa kemudian berhubung semula dengan suspek (Jenny) dan telah memberikan nombor akaun kepada mangsa untuk tujuan pembayaran.
“Pada masa sama, mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak sekali transaksi ke dalam satu akaun tempatan,” katanya.
Zulkipli berkata pada 21 November, mangsa telah berhubung dengan pihak sekolah berkenaan penghantaran stesen janakuasa namun pihak sekolah menafikan ada membuat permohonan sepertimana dimaklumkan oleh mangsa.
“Mangsa berasa curiga dan mulai sedari telah terpedaya, lalu membuat laporan polis. Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.