
KUCHING: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun di Kampung Bako pada 6 Mei lalu kerana disyaki terlibat dalam kes mendatangkan kecederaan menggunakan kayu skop.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata suspek ditahan kira-kira 8.13 malam oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
Menurutnya, kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap satu perkara.
“Akibat kejadian itu, mangsa lelaki berusia 27 tahun mengalami kecederaan dan lebam pada mata kiri, bahagian kanan kepala, siku kanan serta belakang badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah dan semakan lanjut turut mendapati lelaki itu mempunyai satu rekod jenayah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
ACP Alexson turut menasihati orang ramai supaya sentiasa bersabar dan tidak mengambil tindakan sendiri dengan menggunakan kekerasan terhadap orang lain.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444.