SIBU: Terpengaruh dengan tawaran kononnya bakal memperoleh keuntungan tinggi berserta pulangan modal, akhirnya memerangkap seorang lelaki yang kini menanggung kerugian sebanyak RM485,320.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu telah menerima laporan berhubung kejadian itu pada Selasa lepas.
Menurutnya, mangsa seorang lelaki warga tempatan lingkungan umur 50-an telah dimasukkan ke kumpulan yang menawarkan pelaburan ‘Forex’ di Hong Kong.
“Mangsa telah berminat dengan pelaburan awalan sebanyak RM20,000 dan telah memuat naik aplikasi “Meta Traders 4” sehingga menyebabkan kerugian RM485,320.
Katanya, mangsa telah membuat 109 kali transaksi ke dalam dua akaun berasingan mulai November 2022 sehingga Mac 2023 bertujuan memperolehi modal dan keuntungan sebanyak ASD $127,000 yang dinilaikan hampir RM533,400.
“Mangsa kemudiannya, diminta untuk membuat pindahan wang bagi pelbagai urusan pengeluaran wang tersebut,” ujarnya.
Katanya lagi, mangsa mulai curiga apabila dikehendaki memasukan RM11,000 bagi urusan ejen traders datang ke Sibu untuk berjumpa dengan mangsa.
“Mangsa juga telah bertanyakan hal tersebut dengan peguam peribadi dan merasakan dirinya diperdaya lalu membuat laporan polis,” ujarnya lagi.
Zulkipli berkata, sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan dengan Bank Negara Malaysia bagi memastikan kesahihan pelaburan yang dibuat.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya sekiranya dijanjikan kadar faedah pulangan yang jauh lebih tinggi daripada pulangan yang ditawarkan oleh institusi kewangan berlesen,” ujar beliau.
Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, boleh dirujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan ikuti laman facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM. Buat juga semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/
Oleh AKUN GIMAN