
MIRI: Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an mengalami kerugian sebanyak RM257,408 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan saham dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes itu semalam (26 April).
Menurutnya, mangsa berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi RedNote sejak awal Mac sebelum perbualan diteruskan menerusi WhatsApp.
“Suspek kemudian memperkenalkan satu pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.
“Mangsa yang tertarik telah memuat turun aplikasi ‘Everwise’ dari Google Play Store sebelum membuat pelaburan seperti diarahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa melakukan sebanyak 17 transaksi pembayaran ke empat akaun berbeza.
Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu apabila diminta membuat bayaran berterusan walaupun keuntungan yang dijanjikan masih belum diperoleh.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat serta membuat semakan terlebih dahulu melalui saluran sah.
Oleh Liong Chai Ling