
BAU: Seorang lelaki berusia 36 tahun kerugian RM12,380 selepas menjadi mangsa penipuan pembelian kenderaan secara dalam talian melibatkan sebuah Toyota Hilux terpakai yang diiklankan di Facebook.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, mangsa membuat laporan polis pada 22 Jun selepas menyedari dirinya diperdaya oleh individu yang menawarkan sebuah Toyota Hilux Single Cab terpakai pada harga RM25,620.
Menurut Mohd Haide, mangsa yang bekerja sendiri telah melihat iklan tersebut di Facebook pada 18 Jun kira-kira 10.00 pagi sebelum menghubungi nombor telefon yang tertera kerana berminat untuk membeli kenderaan berkenaan.
“Mangsa kemudiannya diarahkan membuat beberapa bayaran bagi tujuan tempahan kenderaan, insurans serta caj pemprosesan yang didakwa berkaitan dengan urusan pembelian tersebut,” katanya.
Beliau berkata, pada 19 Jun lalu, mangsa telah membuat dua transaksi berjumlah RM5,580 melalui mesin juruwang automatik (ATM) di dua cawangan bank. Seterusnya pada 22 Jun, mangsa membuat satu lagi transaksi berjumlah RM6,800 melalui mesin ATM di dua bank di Kota Sentosa yang kononnya bagi tujuan memproses pemulangan wang tempahan.
“Selepas membuat bayaran tersebut, mangsa tidak menerima kenderaan yang dijanjikan. Mangsa kemudian diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM8,220 bagi tujuan membuka akaun untuk proses pemulangan semula wang pendahuluan,” katanya.
Mohd Haide berkata, mangsa mula berasa curiga sebelum menyedari dirinya telah ditipu dan mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM12,380.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati hati ketika membuat urusan pembelian kenderaan secara dalam talian serta memastikan kesahihan penjual sebelum membuat sebarang pembayaran.
“Mangsa tidak mengetahui mengenai peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC). Sehubungan itu, mangsa telah dinasihatkan supaya menghubungi talian 997 bagi membuat aduan berkaitan kes tersebut,” katanya.
Oleh Connie Chieng