LUBOK ANTU, 3 November: Seorang lelaki berusia lewat 20-an ditahan polis dalam Op Tapis Khas di kawasan Engkilili petang semalam selepas disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Penahanan suspek dilakukan sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu ketika menjalankan operasi berkenaan.
Menurut kenyataan IPD Lubok Antu, pemeriksaan fizikal terhadap tubuh badan suspek telah dijalankan sejurus penahanan dilakukan bagi mengesan sebarang barangan yang menyalahi undang-undang.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan tersebut tidak menemukan sebarang barangan salah atau bahan terlarang pada tubuh badan suspek.
Namun, keputusan ujian saringan air kencing dijalankan pihak polis mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Susulan keputusan itu, suspek ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Operasi berkenaan merupakan antara usaha berterusan polis dalam membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di kawasan pentadbiran IPD Lubok Antu, selain memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat terus terpelihara.
Oleh Adi Safarman





