
LUBOK ANTU: Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia awal 40-an dalam satu Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu di Lebuh Raya Pan Borneo dekat kawasan Engkilili, semalam.
Tangkapan dibuat selepas ujian saringan awal air kencing yang dilakukan terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin berkata, operasi khas berkenaan dilancarkan sebagai langkah proaktif dalam usaha menurunkan kadar kes jenayah indeks serta mencegah sebarang aktiviti menyalahi undang-undang di daerah tersebut.
Menurut beliau, operasi bersepadu itu diketuai oleh Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah, Inspektor Nelson Ensit dengan kekuatan logistik seramai 22 anggota daripada pelbagai pangkat dan cawangan.

“Selain membanteras jenayah, operasi ini juga dilaksanakan bertujuan untuk membanteras penyalahgunaan dadah serta menguatkuasakan undang-undang lalu lintas bagi memastikan keselamatan semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam operasi yang sama, pihak polis turut mendirikan sekatan jalan raya di lokasi strategik bagi memeriksa kenderaan dan individu yang mencurigakan daripada melakukan aktiviti jenayah.
Hasil pemeriksaan sepanjang sekatan jalan raya berkenaan mendapati sebanyak 95 kenderaan pelbagai jenis serta 100 individu telah diperiksa secara menyeluruh oleh anggota yang bertugas.
Bagi penguatkuasaan undang-undang lalu lintas pula, polis telah mengeluarkan sebanyak 21 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya yang dikesan sepanjang tempoh operasi itu berlangsung.
Mengulas lanjut, DSP Pricha menegaskan bahawa IPD Lubok Antu akan terus komited mempertingkatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa demi memastikan tahap keselamatan dan ketenteraman awam di daerah berkenaan sentiasa terjamin.
Oleh Adi Safarman



