Lelaki parah, wanita cedera dalam kemalangan kendiri berhampiran SMK Sematan 

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
ANGGOTA bomba mengeluarkan seorang lelaki yang cedera parah dari sebuah Perodua Bezza yang terbabit dalam kemalangan kendiri berhampiran SMK Sematan, hari ini. Foto JBPM.

LUNDU: Seorang lelaki cedera parah manakala seorang wanita cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan kendiri berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sematan, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 1.22 petang.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan kendiri itu melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza.

“Pemandu lelaki dewasa didapati tidak tersepit tetapi mengalami kecederaan parah, manakala seorang penumpang wanita turut cedera. Penumpang tersebut telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” kata Komander Operasi, PBK I Nelson Phang dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata pasukan bomba kemudiannya mengeluarkan mangsa lelaki menggunakan pengusung sebelum menyerahkannya kepada petugas ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.