SIBU: Seorang lelaki warga tempatan yang mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah, ditahan kerana disyaki terlibat aktiviti pengedaran dadah.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, suspek berusia 42 tahun itu ditahan oleh pasukan polis dari Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu malam tadi sekitar 10.00 pagi di hadapan sebuah rumah di Lorong Salim, Sibu.
Katanya, hasil pemeriksaan polis menemui 25 kerajang timah berwarna merah/perak, setiap satu mengandungi 10 biji pil disyaki dadah jenis Erimin 5 dengan anggaran berat kasar 80.3 gram bernilai RM5,000.
“Selain itu, lapan peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat kasar 12.7 gram bernilai RM1,397 turut dirampas.
“Turut dirampas ialah sebuah kereta jenis Toyota Vios milik suspek yang dianggarkan bernilai RM80,000,” katanya dalam kenyataan media.
Zulkipli berkata, ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine / Amphetamine / Benzo.
“Suspek telah ditangkap dibawah Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 15(1) ADB 1952, dan telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” kata beliau.
Katanya, hukuman bagi kesalahan dibawah Seksyen 39B ADB 1952 jika disabitkan kesalahan mandatori gantung sampai mati.
“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali dan pengawasan selama dua tahun di bawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952,” tegasnya.