MIRI, 13 Oktober: Seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Miri hari ini selepas mengaku bersalah atas kesalahan memiliki dadah jenis syabu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dijatuhi hukuman di bawah peruntukan sama.
Kes itu bermula pada 21 Ogos lalu apabila sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri menyerbu sebuah rumah di Jalan Jee Foh 4, Taman Yakin, kira-kira jam 11.20 pagi.
Pemeriksaan di premis berkenaan menemukan tujuh peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki syabu yang kemudiannya disahkan sebagai methamphetamine dengan berat bersih 26.76 gram.
Ketua Polis Daerah, Mohd Farhan Lee Abdullah menegaskan bahawa pihak polis akan terus mempergiat operasi bagi membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah yang mengancam masyarakat, khususnya golongan muda.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri atau balai polis berhampiran bagi membantu usaha membanteras kegiatan berkenaan.
Oleh Liong Chai Ling





