SARIKEI: Seorang lelaki berusia 30 tahun maut selepas kereta jenis Toyoto Vios yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu masuk ke dalam parit sebelah kiri jalan.
Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei, Superitendan Awang Arfian Awang Bujang ketika dihubungi Utusan Sarawak malam kelmarin mengesahkan menerima laporan kejadian kemalangan maut tersebut.
“Mangsa dikenalpasti sebagai Loh Ngie Ying, seorang peniaga dan berasal dari Jalan Tanah Mas, Bintangor.
“Kemalangan kendiri tersebut berlaku sekitar jam 4.30 petang di KM 4, Jalan Sungai Pasi,” katanya.
Jelasnya, kemalangan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di muka dan kepala.
“Kereta mangsa remuk diseluruh bahagian akibat kemalangan.
“Berdasarkan pemerhatian pihak polis di kawasan kemalangan, pemukaan jalan kering, rata dan tidak hujan. Selain itu, tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kemalangan.
“Kemalangan berlaku apabila mangsa yang memandu bersendirian datang dari arah pekan Bintangor menghala ke bandar Sarikei telah dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu masuk ke parit sebelah kiri jalan,” ujarnya.
Katanya, akibat kemalangan tersebut, mangsa meninggal di lokasi kemalangan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 bagi mengenalpasti punca sebenar kemalangan,” katanya lagi.
Sementara itu, menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, PPgB Mahmudin Narudin, pihaknya menerima panggilan dari pihak polis untuk bantuan menyelamat mangsa.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, kereta mangsa telah ditarik ke tebing parit oleh penunda kereta. Didapati mangsa tiada di dalam kereta dan pasukan bomba terus membuat pencarian mangsa di dasar air dan sekitar kawasan kemalangan.
“Pasukan bomba membuat pencarian di dasar air dengan menggunakan tali.
“Mangsa berjaya dijumpai di dasar parit dan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kemalangan,” jelasnya.
Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Oleh Earl Anek