KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia mempertimbangkan cadangan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan penerbangan ihsan bagi membawa pesakit untuk rawatan kecemasan di kawasan pedalaman.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata pihaknya menyambut baik cadangan berkenaan, namun mengakui Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM ketika ini berdepan dengan kekangan aset udara berbanding keluasan kawasan dan saiz keanggotaan pasukan.
Beliau berkata aset udara sedia ada di Sarawak merangkumi dua kapal terbang dan sebuah helikopter.
“Jadi, keperluan itu mungkin agak terdesak juga pada ketika ini, namun demi masa depan dan kerjasama yang lebih baik dengan kementerian terlibat, saya percaya perkara ini boleh kita pertimbangkan.
“Mungkin perolehan aset baharu ataupun kaedah-kaedah lain dapat memudahkan kementerian dan agensi bekerjasama bagi memastikan tugas serta tanggungjawab itu dilaksanakan dengan lebih baik pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Upacara Serah Terima Tugas Jawatan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL), hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata empat agensi kerajaan akan membantu KKM melaksanakan penerbangan ihsan bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Khidmat penerbangan ihsan itu akan digunakan sementara waktu sehingga siasatan berhubung nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas dan terbakar di Miri, Sarawak pada 8 September selesai.
Menyentuh tentang siasatan nahas terbabit, beliau berkata 20 saksi telah memberikan keterangan dan beberapa lagi kenyataan akan diambil bagi melengkapkan siasatan kes yang diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Mohd Khalid turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas terbabit.
Dalam pada itu, Mohd Khalid berkata polis sedang melengkapkan siasatan berhubung laporan dibuat Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim yang mendakwa menandatangani Surat Cara Proklamasi tanpa rela hati dan secara paksaan.
Beliau berkata perkara itu memerlukan penelitian menyeluruh kerana melibatkan aspek siasatan polis, serta adat dan istiadat Negeri Sembilan.
“Kertas siasatan sedang kita siapkan. Kita mungkin memerlukan tindakan berterusan serta pandangan daripada pihak Peguam Negara dan sebagainya,” katanya.
Ismail sebelum ini dilaporkan mendakwa beliau dipaksa menandatangani dokumen berkenaan sebelum membuat laporan polis pada 8 September bagi membolehkan siasatan dijalankan pihak berkuasa. – Bernama





