MIRI: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Miri-Bintulu berhampiran Rumah Panjang Robert di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden (Supt) Alexson Naga Chabu berkata, dalam kejadian sekitar 3.30 petang itu, mangsa Mohd. Amin Amirul Itang Abdullah,39, dari Kampung Madinah Niah dikatakan dalam perjalanan dari arah Bintulu menghala ke Pekan Niah.
“Setibanya di tempat kejadian, kereta Proton Saga yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar bahagian depan lori tersebut.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans dari Klinik Pekan Niah manakala pemandu lori yang berumur 38 tahun tidak cedera,” katanya.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Rumah Mayat Hospital Miri untuk tindakan lanjut.
“Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Oleh Liong Chai Ling