SARIKEI: Seorang lelaki berusia 58 tahun maut dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Sg Rusa di sini, malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Sarikei, Pemangku Supt Aswandy Anis, insiden berlaku kira-kira 9.45 malam itu melibatkan sebuah motosikal yang ditunggang oleh mangsa, Jimpi Asam.
“Mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang dari Sg Rusa menuju ke rumahnya di Sg Selapan, Sarikei.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa disyaki telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan tinggi yang tidak dikenal pasti jenis dan nombor pendaftarannya.
“Kenderaan tersebut dipercayai berada di laluan kanan menuju ke Jakar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, akibat pelanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, kaki dan dada.
Sementara itu, motosikal mangsa turut rosak teruk di bahagian depan dan belakang, namun tiada serpihan kenderaan lain ditemui di lokasi kejadian.
Aswandy berkata mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Sarikei yang tiba tidak lama selepas itu.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp Ahmad Mustaqim Idris, di talian 010-4427240 atau melaporkan di mana-mana balai polis berhampiran.
Pihak polis turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika memandu bagi memastikan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.