
SIBU: Hanya dalam tempoh hampir satu jam, tindakan pantas pasukan bomba berjaya menjumpai seorang lelaki yang dilaporkan hilang semasa menjalankan aktiviti pendakian di dalam hutan, Jalan Kemuyang, petang semalam.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 4.15 petang.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar terdapat seorang orang awam tersesat di dalam hutan semasa melakukan aktiviti pendakian.
“Komander operasi telah membuat size-up dan telah mengarahkan anggota untuk membuat pemantauan di sekitar kawasan yang telah dilaporkan mangsa tersesat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima bahawa satu pasukan orang awam seramai empat orang telah mencari mangsa menggunakan lokasi yang telah diberikan oleh mangsa melalui whatsapp.
“Pencarian mangsa lebih kurang radius 2 kilometer (KM) dari jalan utama. Mangsa,46, telah dijumpai dalam keadaan selamat dan telah dibawa keluar dari kawasan tersebut ke kawasan jalan utama.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa tamat pada 5.28 petang,” kata beliau.
Oleh Akun Giman