BEKENU: Pasukan Polis Marin (PPM) Miri telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun setelah dikesan membawa muatan minyak diesel tanpa dokumen sah dalam satu operasi di sini, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, menyatakan bahawa suspek ditangkap sekitar 4.50 petang oleh Unit Risikan Marin (URM) Markas Taktikal PPM menjalankan operasi Op Taring Landai.
Katanya, dalam operasi tersebut, polis menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux (single cab) berwarna putih di tepi Jalan Melor, Bekenu.
Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu memuatkan minyak diesel tanpa sebarang dokumen sah, katanya dalam satu kenyataan, semalam.
“Nilai keseluruhan rampasan, termasuk kenderaan dan minyak diesel, dianggarkan berjumlah RM105,000.
“Kes ini disiasat mengikut Akta Bekalan 1961, dan semua barang rampasan serta suspek telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) untuk tindakan lanjut”, jelasnya lagi.
Pihak berkuasa turut menegaskan bahawa operasi berterusan akan dilaksanakan bagi membanteras aktiviti penyeludupan.
Oleh Adum Liu