SIBU: Seorang lelaki tempatan ditahan bersama sejumlah dadah dengan keseluruhan anggaran berat kasar rampasan berjumlah 1.5 kilogram, bernilai kira-kira RM86,051.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, sebuah kenderaan yang dipandu oleh suspek berusia 41 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sibu di tepi Jalan Pedada Sibu sekitar 1.35 petang, kelmarin.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan pihak polis telah menjumpai 34 paket plastik pelbagai saiz mengandungi ketulan-ketulan kristal yang disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 139.07 gram.
“Turut dijumpai 15 papan pil bersalut kerajang timah warna merah/perak dimana setiap satu berisi 10 biji pil dengan jumlah keseluruhan 150 biji disyaki dadah jenis Erimin 5 dengan berat kasar 41.78 gram,” katanya pada sidang media, hari ini.
Pemeriksaan lanjut keatas sebuah rumah di Jalan Tuah, katanya, pihak polis telah menjumpai 439 paket plastik pelbagai saiz mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine anggaran berat kasar 1149.00 gram.
“Turut dijumpai 13 paket plastik lutsinar berisi hablur kristal disyaki dadah jenis Ketamine anggaran berat kasar 73.71 gram dan 60 papan pil bersalut kerajang timah warna merah/perak dimana setiap satu berisi 10 biji pil dengan jumlah keseluruhan 600 biji pil disyaki dadah jenis Erimin 5 dengan berat kasar 167.34 gram.
“Nilai semasa keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM86,051 dengan keseluruhan anggaran berat kasar rampasan berjumlah 1.5 kilogram,” katanya.
Zulkipli berkata, pihak Polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Honda Accord yang dianggarkan bernilai RM15,000 dan wang tunai berjumlah RM6,600 disyaki hasil aktiviti penjualan dadah.
Menurutnya lagi, ujian saringan air kencing yang dijalankan turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine/Amphatamine/Ketamine/Benzo.
“Suspek seterusnya ditangkap di bawah seksyen 39B ADB 1952 dan telah ditahan reman selama 6 hari bermula semalam, 11 Oktober hingga 17 Oktober bagi membantu siasatan.
“Hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 39B ADB 1952 jika disabitkan kesalahan mandatori gantung sampai mati.
“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali dan pengawasan selama dua tahun di bawah seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Oleh Tarani Lanting