SIBU: Seorang lelaki warga tempatan berumur 33 tahun ditahan bersama dadah disyaki ganja dengan anggaran berat kasar 1,082.24 gram dan nilai rampasan berjumlah RM30,000 di kaki lima sebuah premis di Jalan Bindang, di sini pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tangkapan dilakukan oleh polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, kira-kira 11.00 pagi semalam.
“Hasil pemeriksaan menemukan dan merampas 13 paket plastik lutsinar/hitam berisi tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja, dengan anggaran berat kasar 1,082.24 gram dan nilai rampasan bernilai RM30,000.
“Turut disita sebuah kenderaan jenis Proton Persona yang dianggarkan bernilai RM6,000,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hasil ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis THC (tetrahydrocannabinol).
“Suspek yang tidak mempunyai rekod lampau direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya.
Abang Zainal berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah diminta menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222 (JSJN Bukit Aman) atau 017-59292111 (JSJN Sarawak).
Oleh Akun Giman




