Lelaki disyaki ejen judi dalam talian ditahan di Simpang Nyabor

Facebook
WhatsApp
SEORANG lelaki tempatan berusia 41 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan menjual tambah nilai judi dalam talian di sekitar Simpang Empat Nyabor, hari ini. Foto IPD Saratok

KABONG: Seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan menjual tambah nilai judi dalam talian di sekitar Simpang Empat Nyabor, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok di sebuah pondok di Jalan Simpang Nyabor kira-kira 2.36 petang.

Menurutnya, lelaki dari Roban itu ditahan ketika berada seorang diri di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Redmi 9A yang dipercayai digunakan dalam aktiviti berkenaan.

“Saringan air kencing suspek didapati negatif dan pemeriksaan turut mendapati dia tidak mempunyai rekod lampau,” katanya dalam satu kenyataan.

Mathew berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku menjadi ejen judi dalam talian di sekitar Simpang Empat Nyabor sejak kira-kira seminggu lalu.

Katanya, suspek yang masih bujang dan tidak mempunyai pekerjaan tetap itu dipercayai menjadikan kegiatan menjual tambah nilai judi dalam talian sebagai sumber pendapatan sampingan.

“Suspek dipercayai menyasarkan pelanggan dari kawasan sekitar Kampung Nyabor dan Kampung Sessang yang melalui Simpang Empat Nyabor.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan status kes adalah selesai,” katanya.

Oleh Adi Safarman