BINTULU: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas keluar menjala ikan di Sungai Nyigu, malam tadi, ditemukan meninggal dunia, petang tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa, David Gira, 49, ditemukan kira-kira 1.8 kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh sekitar 2.32 petang.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang selepas keluar menjala di sungai berhampiran rumah pekerja di Sungai Nyigu, 5.30 petang, semalam.
Isteri mangsa membuat laporan polis selepas menyedari kehilangannya.
Susulan laporan itu, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu digerakkan ke lokasi untuk operasi pencarian menggunakan teknik ‘water searching’.
Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan gigitan pada badan mangsa, dipercayai akibat serangan buaya.
Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.