
MIRI: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Baram berhampiran Long Pelutan, Baram, dekat sini, petang semalam.
Mangsa, 37, berbangsa Kayan, yang dilaporkan hilang sekitar 3.00 petang ketika mandi bersama ahli keluarganya di sungai berkenaan.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 12.30 tengah malam tadi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi digerakkan ke lokasi.
Katanya, seramai tiga anggota bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda Triton dihantar bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Maklumat awal mendapati mangsa dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Baram pada petang semalam.
“Penduduk kampung telah menjalankan usaha pencarian sejurus selepas kejadian namun mangsa masih gagal ditemui sebelum laporan dibuat kepada pihak bomba,” katanya.
Beliau berkata, operasi SAR sedang dijalankan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Setakat ini, mangsa masih belum ditemukan.
Oleh Liong Chai Ling