MIRI: Seorang lelaki dewasa dikhuatiri disambar buaya setelah hilang ketika memeriksa pukat yang dipasangnya di sungai di Batu 4, Kuala Baram, di sini, hari ini.
Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata mangsa dikenali sebagai Minggu anak Ikum, 59 (gambar) dikatakan turun ke tebing sungai itu petang tadi, namun tidak kembali ke rumah hingga 5 petang.
“Menurut anaknya, dia kemudian memeriksa di lokasi mangsa memasang pukat selepas cubaannya menghubungi telefon bimbit ayahnya itu gagal.
“Setelah tiba di lokasi tersebut, anak mangsa hanya menemui barang milik mangsa di tebing sungai.
“Selain itu, pukat milik mangsa juga didapati koyak dan kesan buaya ditemui di tebing sungai,” katanya menerusi kenyataan malam ini.
Katanya, anak mangsa kemudian bergegas memberitahu penduduk kampung dan mereka mula mencari mangsa di sekitar kawasan tersebut.
Selepas gagal mengesan mangsa, anaknya kemudian membuat laporan polis sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat pada 5.55 petang.
Bertindak atas laporan, sepasukan anggota enam orang dikejarkan lokasi yang terletak sembilan kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bersama orang kampung membuat pencarian di sekitar sungai dalam radius satu kilometer.
“Bagaimanapun, mangsa masih gagal ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan pada 7.28 petang atas faktor cuaca gelap.
“Operasi pencarian akan disambung pada esok hari,” katanya.