
BAU: Seorang lelaki cedera selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan dua buah lori di Kampung Buso, Jalan Bau–Kuching, petang tadi.
Dalam kejadian sekitar 2.00 petang itu, mangsa mengalami kecederaan patah kaki kiri selepas kedua-dua lori bertembung di lokasi kejadian.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau menerima panggilan kecemasan pada 2.00 petang sebelum sepasukan anggota tiba di lokasi dalam tempoh lapan minit.

Setibanya di lokasi, pasukan mendapati seorang pemandu tersepit di bahagian tempat duduk pemandu, manakala seorang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan penyelamat sebelum menyerahkannya kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut.

Operasi menyelamat diketuai Rodziah Berawi dengan kekuatan enam anggota serta sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan EMRS, selain dibantu petugas KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Operasi tamat sepenuhnya pada 2.30 petang selepas keadaan disahkan selamat.