SRI AMAN: Seorang lelaki berusia 58 tahun dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke rumah ketika keluar ke kawasan hutan untuk berburu di sekitar Rumah Rebicca Lipat Ulu Skrang, di sini, sejak semalam.
Mangsa, Mangka Enting, dilaporkan keluar dari rumah sekitar 9.00 pagi semalam sebelum gagal dikesan sehingga laporan dibuat.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) memaklumkan, usaha pencarian awal turut dilakukan oleh keluarga bersama penduduk rumah panjang di kawasan sekitar, namun mangsa masih belum ditemui.
Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan pada hari ini dengan membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong.
Komander Operasi, PBK I Yusof Tamin berkata, pasukan tiba di lokasi kira-kira 2.18 petang sebelum operasi pencarian dijalankan bersama penduduk kampung.
“Operasi pencarian pada hari pertama melibatkan radius sehingga dua kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang.
“Bagaimanapun, sehingga operasi ditangguhkan pada 5.30 petang, mangsa masih belum berjaya ditemui,” katanya.
Operasi SAR kemudiannya ditangguhkan dan akan disambung semula pada pagi esok.
Seramai tiga anggota bomba bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda digunakan dalam operasi berkenaan, selain dibantu empat anggota polis dan kira-kira 30 penduduk kampung.
Setakat ini, status mangsa masih belum ditemui dan operasi pencarian akan diteruskan bagi mengesan keberadaan Mangka.
Oleh Adi Safarman




