KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun diberkas selepas polis merampas 102.80 gram dadah disyaki ketamin bernilai kira-kira RM5,140 dalam satu operasi di Jalan Tan Sri Datuk William Tan, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata suspek ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sarawak kira-kira 12.30 tengah hari kelmarin.
Beliau berkata pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada penemuan 102.80 gram dadah disyaki ketamin.
Polis turut menyita wang tunai berjumlah RM5,850 yang dipercayai hasil daripada kegiatan pengedaran dadah.
“Hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin dan semakan turut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurut Alexson, jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Beliau berkata suspek kini direman selama enam hari bermula 7 hingga 12 Ogos mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan.
Alexson berkata kejayaan itu adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah. Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang. Polis komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang kerana dadah adalah musuh nombor satu negara,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah diminta menghubungi Hotline JSJN Bukit Aman di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di talian 017-592 9211.
Oleh Connie Chieng





