BINTANGOR, 3 November: Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an ditahan polis kerana disyaki menjadi keldai akaun dalam kes penipuan pinjaman tidak wujud yang menyebabkan seorang mangsa kerugian RM1,000 selepas tertarik dengan tawaran pinjaman menerusi Facebook.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, suspek ditahan pihak polis kira-kira 10.30 pagi semalam.
“Semalam, kira-kira 10.30 pagi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong telah menahan seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 20-an kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan dengan modus operandi ‘Pinjaman Tidak Wujud’ dengan peranan sebagai keldai akaun.
“Siasatan awal mendapati mangsa tertarik dengan iklan pinjaman wang yang dipaparkan di Facebook dan berhasrat memohon pinjaman sebanyak RM10,000,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudian diminta memberikan maklumat peribadi sebelum diarahkan membuat bayaran RM1,000 kononnya bagi mengaktifkan akaun pinjaman tersebut.
“Mangsa mengikuti semua arahan yang diberikan suspek. Namun, wang pinjaman tersebut tidak dimasukkan ke dalam akaun mangsa.
“Jumlah keseluruhan kerugian yang dilaporkan adalah sebanyak RM1,000,” katanya.
Tansli berkata, semakan lanjut mendapati suspek turut dikesan mempunyai kaitan dengan satu laporan polis di Daerah Manjung.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan rekod lampau mendapati lelaki tersebut tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati terhadap tawaran pinjaman dalam talian, khususnya yang meminta bayaran pendahuluan sebelum wang pinjaman disalurkan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak polis atau mana-mana agensi yang berkaitan sebelum membuat sebarang transaksi kewangan kepada pihak ketiga,” katanya.
Beliau turut mengingatkan mangsa penipuan dalam talian supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 atau Balai Polis Bintangor di talian 084-693222 untuk mendapatkan bantuan.
Earl Anek





