BINTANGOR: Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an ditahan polis selepas disyaki menjadi keldai akaun dalam kes penipuan menyamar sebagai kenalan menerusi WhatsApp yang menyebabkan mangsa kerugian RM5,100.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong kira-kira 1.30 petang semalam.
“Siasatan awal mendapati mangsa telah menerima mesej melalui WhatsApp dengan memperkenalkan diri sebagai rakan pengadu.
“Tujuannya adalah ingin meminjam wang mangsa. Mangsa kemudiannya telah membuat satu transaksi pembayaran ke akaun yang diberikan oleh suspek.
“Jumlah keseluruhan kerugian yang dilaporkan adalah sebanyak RM 5,100,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, suspek juga dikesan terlibat dalam laporan polis bagi Daerah Sri Aman dan Padawan.
“Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi sepuluh tahun serta sebatan dan denda, jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Tansli menasihatkan orang ramai supaya tidak terburu-buru melakukan transaksi kewangan apabila menerima permintaan menerusi aplikasi pesanan, biarpun individu terbabit mendakwa sebagai kenalan mereka.
Orang ramai disaran membuat semakan terlebih dahulu dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau agensi berkaitan sebelum memindahkan wang kepada pihak ketiga bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
“Mangsa juga boleh menghubungi talian hotline Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi melaporkan penipuan dalam talian, atau menghubungi Balai Polis Bintangor di talian 084-693222,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek





