HARI penuh bersejarah apabila seramai 100 bekas pemain-pemain legenda bola sepak Simanggang telah disatukan dalam perlawanan persahabatan nostalgia ‘Main Simanggang’ yang diadakan di Padang KPSU Lama Sri Aman semalam.
Lebih menarik ialah perlawanan yang dianjurkan oleh Persatuan Anak Perantau Simanggang dan Belia Simanggang itu disertai oleh anak jati kelahiran Bandar Simanggang yang merupakan bintang lagenda skuad Bujang Senang, Ramos Sari dan Ramles Sari.
Pertemuan yang dianggap ‘reunion’ itu lebih istimewa dengan masing-masing menunjukkan kehebatan menerusi perlawanan yang diadakan biarpun sudah berpuluh tahun ‘bersara’ dalam dunia sukan bola sepak itu.
Peminat serta penyokong tempatan tidak terlepas peluang apabila menatap semula bekas bintang Simanggang era 80 hingga 90an yang pernah memeriahkan dan mewarnai suasana kemeriahan Kejohanan Liga Simanggang satu ketika dahulu.
Antara bekas pemain veteran yang pernah mewakili pasukan masing-masing yang hadir ialah pemain pasukan Datus FC, Crossmos FC, Belia Bersatu Stawang FC, Laban FC, Saberkas FC, Landas FC, TMY FC, Absa FC, Police FC, Kitana FC, Sesco FC dan Sokanjaya FC.
Paling menariknya bekas pemain pasukan AY17 dan Zaimie Team iaitu pasukan yang sering bertarung dalam perlawanan akhir pada pertandingan Liga Bola Sepak Simanggang sekitar 90an hingga 2015 turut beraksi merancakkan lagi aksi yang berjaya mengimbau kembali nostalgia ‘Main Simanggang’.
Bekas pemain dan Pengurus pasukan AY17, Abang Yahya Abang Sulaiman berkata, kehadiran bekas pemain lagenda Simanggang telah berjaya mengimbau kembali era kegemilangan bola sepak di bandar ini yang dikecapi sekitar 90-an.
“Saya percaya kemunculan mereka dapat mengubat kerinduan peminat bola sepak di daerah ini dengan menyaksikan kelibat mereka di padang,” ujar beliau yang merupakan bekas pemain pertahanan pasukan Sarawak sekitar 90-an.
Beliau berkata, perlawanan yang diadakan dianggap berjaya kerana telah menyatukan kembali pemain-pemain lagenda Simanggang serta pernah mewakili Bahagian Sri Aman sebelum ini.
Dalam pada itu, pemain lejen Crossmos FC, Kader Untong menyifatkan perlawanan yang dianjurkan itu telah mengingatkan kembali kegemilangan pasukannya yang pernah menjuarai beberapa siri penganjuran Liga Simanggang satu ketika dahulu sekitar tahun 80an hingga 90-an.
“Terima kasih kami ucapkan kepada pihak penganjur kerana telah menyatukan semula bekas pemain terutamanya pasukan Crossmos FC yang pernah dilabelkan peminat bola sepak tempatan pasukan yang paling digeruni pada satu ketika dahulu.
“Reunion seperti inilah yang kami tunggu-tunggu selama ini, kerana kami terlalu rindukan aksi permainan kami diatas padang bersama rakan sepasukan, akhirnya kami bertemu semula. Terima kasih kepada penganjur kerana menghargai pengorbanan kami yang pernah mewarnai zaman kegemilangan ‘Main Simanggang’,” ujarnya.
Sementara itu, bekas pemain Laban FC, Martin berkata, beliau begitu teruja sebaik sahaja mendapat perkhabaran mengenai perlawanan persahabatan nostalgia ‘Main Simanggang’ yang dihebahkan pada minggu lalu.
“Seperti tidak sabar untuk saya beraksi serta bertemu dengan rakan sepasukan yang pernah berjuang merebut kejuaraan Liga Simanggang lebih 30 tahun lalu.
“Pasukan kami pada ketika itu adalah dari kalangan pemain Melayu (Laut) dan Iban sehingga dinamakan Laban FC (Laut Iban),” katanya.
Beliau turut berbangga kerana berpeluang bermain bersama bintang legenda Bujang Senang, Ramos Sari dan Ramles Sari pada perlawanan itu semalam.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Simoi Peri telah menyempurnakan sepak mula perlawanan itu. Turut hadir Setiausaha Persatuan Anak Perantau Simanggang, Awang Putra Yusri Awang Redzuan dan Presiden Persatuan Bola Sepak Sri Aman, Abdillah Majid.
Oleh Adi Safarman