Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Legenda belum selesai: Messi kembali ke Piala Dunia
  • SUKAN

Legenda belum selesai: Messi kembali ke Piala Dunia

Utusan Sarawak 3 hours ago
LIONEL Messi memerhatikan bola ketika menyertai sesi latihan MD-1 di Pusat Latihan Sporting KC di Kansas City, sehari sebelum perlawanan Kumpulan H Piala Dunia 2026 antara Argentina dan Algeria. Foto: AFP

KANSAS CITY, Amerika Syarikat: Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, mengakui seluruh dunia menantikan aksi Lionel Messi menjelang perlawanan pembukaan kempen Piala Dunia juara bertahan itu menentang Algeria, esok.

Messi dijangka mencipta rekod dengan beraksi dalam Piala Dunia keenamnya, empat tahun selepas memimpin Argentina menjulang kejuaraan di Qatar.

Pemain berusia 38 tahun itu menimbulkan kebimbangan kecederaan bulan lalu apabila terpaksa meninggalkan perlawanan Inter Miami menentang Philadelphia akibat keletihan otot.

Bagaimanapun, beliau kembali mempamerkan aksi cemerlang apabila diturunkan sebagai pemain gantian dalam kemenangan Argentina ke atas Iceland pada aksi persahabatan minggu lalu, termasuk menjaringkan gol menerusi sepakan penalti.

“Semua orang mahu melihatnya beraksi, bukan hanya rakyat Argentina, kerana impaknya terhadap peminat bola sepak di seluruh dunia amat besar,” kata Scaloni dalam sidang media praperlawanan.

PENYERANG Argentina, Lionel Messi bersama rakan sepasukan menjalani sesi latihan sehari sebelum perlawanan Kumpulan J Piala Dunia FIFA 2026 antara Argentina dan Algeria di Stadium Kansas City. Foto: AFP

“Dia sentiasa menjadi pemain penting buat kami dan kini peranannya lebih besar. Dia berada dalam keadaan baik.”

Pertahanan tengah, Nicolas Otamendi, yang telah lama bergandingan dengan Messi dalam skuad kebangsaan, bakal beraksi dalam Piala Dunia keempatnya.

“Dia seorang yang sangat kompetitif,” kata Otamendi. “Dia sentiasa mendorong rakan sepasukan untuk terus berusaha dan tidak mudah berpuas hati.”

Bekas pertahanan Manchester City itu menambah: “Kami menikmati setiap saat bersamanya. Dia seorang yang merendah diri dan sentiasa menikmati kebersamaan bersama pasukan, termasuk ketika sesi latihan.”

Scaloni turut berdepan kebimbangan mengenai kecergasan penjaga gol, Emi Martinez, dan penyerang, Julian Alvarez, namun kedua-duanya dijangka diturunkan dalam kesebelasan utama di Kansas City.

LIONEL Messi dari Argentina ketika sesi latihan pasukan Argentina sehari sebelum perlawanan Kumpulan J Piala Dunia FIFA 2026 antara Argentina dan Algeria di Stadium Kansas City. Foto: AFP

Argentina tewas kepada Arab Saudi dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia di Qatar sebelum bangkit menjuarai kejohanan itu buat kali ketiga.

“Piala Dunia lalu mengajar kami bahawa perlawanan pertama bukan penentu segalanya. Ia penting, tetapi kami tahu perjalanan tidak berakhir di situ,” kata Scaloni.

“Kami bakal berdepan pasukan yang memiliki pemain berkualiti, namun kami berada dalam keadaan terbaik dan penuh keyakinan.”

Pasukan Afrika sudah membuktikan kemampuan mereka dalam Piala Dunia pertama yang disertai 48 pasukan.

Pendatang baharu, Cape Verde, mengikat Sepanyol tanpa jaringan pada Isnin, manakala Maghribi turut mencatat keputusan seri 1-1 menentang juara lima kali, Brazil.

“Algeria adalah lawan yang hampir sama seperti Maghribi. Mereka memiliki pemain berkualiti dan jurulatih yang hebat,” kata Scaloni.

“Perlawanan Brazil menentang Maghribi membuktikan mengapa kami tidak boleh terlalu yakin.

“Kami juga melihat menerusi aksi Sepanyol bahawa tiada lawan yang mudah. Semua pasukan layak berada di Piala Dunia dan Algeria tetap sebuah pasukan yang perlu diberi perhatian serius.” – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Haaland dijangka beri impak besar di Piala Dunia, kata jurulatih Norway
Next: Perancis waspada elak terlalu yakin menjelang aksi pembukaan Piala Dunia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.