Lebih sedekad berlalu, manfaat Perkeso terus jadi sandaran waris MH370

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso Azirruan Ariffin.

KOTA BHARU, 17 Oktober: Walaupun misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 pada 8 Mac 2014 masih belum terungkai, kesannya masih dirasai terutama kepada waris keluarga yang terpaksa meneruskan kehidupan tanpa insan tersayang di sisi.

Bagi mereka, tempoh 12 tahun bukan sekadar meninggalkan ruang kosong dalam kehidupan, malah turut membawa perubahan cukup besar terhadap perjalanan hidup dan kestabilan kewangan keluarga.

GAMBAR kenangan  Nurlaila Ngah (dua kiri) bersama anak-anaknya ketika meraikan Hari Raya Aidilfitri di Ipoh Perak pada tahun 2025. Foto Nurlaila Ngah

Di sebalik liku kehidupan ditempuhi lebih sedekad, manfaat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjadi antara sokongan penting buat waris yang layak, khususnya menerusi Faedah Orang Tanggungan (FOT) di bawah Skim Bencana Pekerjaan, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Faedah berkenaan menyediakan jaminan kewangan berterusan kepada keluarga yang kehilangan pencari nafkah akibat bencana pekerjaan, sekali gus membantu meringankan beban mereka dalam memenuhi keperluan asas serta pendidikan anak-anak.

Nurlaila Ngah, 52, yang kehilangan suami Wan Swaid Wan Ismail dalam tradegi MH370, manfaat berkenaan sedikit sebanyak membantukan meneruskan kehidupan selepas terpaksa membesarkan tiga anak yang ketika itu masih bersekolah tanpa suami di sisi.

“Saya bersyukur sebab suami saya mencarum dengan Perkeso ketika berkhidmat dengan Malaysia Airlines sejak tahun 1995 sebagai pramugara dan walaupun dia (Wan Swaid) masih belum ditemui tetapi anak-anaknya menerima manfaat daripada Perkeso yang dikategorikan sebagai kemalangan sewaktu bekerja.

NORZALINDA Ayub (kiri) bergambar kenangan bersama dua anaknya Hareez Danni Junaidi 23 (tengah) dan Hani Daleeya Junaidi 20. Foto Norazlinda Ayub

“Kami terima bayaran lebih RM2,500 sebulan menerusi faedah tersebut daripada Perkeso sejak 2014 dan semestinya bantuan yang diberikan menjadi sokongan untuk kami meneruskan kehidupan dan mengurus keperluan harian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Nurlaila berkata ketiga-tiga anaknya yang kini berusia 20, 22, dan 24 tahun serta sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) masih menerima faedah berkenaan berdasarkan syarat ditetapkan Perkeso.

“Dalam keadaan yang dihadapi kami sekeluarga, perlindungan keselamatan sosial memainkan peranan penting apabila ada dalam kalangan ahli kita ditimpa musibah ketika bekerja.

” Perkeso ini jaga kebajikan kita sebagai pekerja dan kalau apa-apa jadi pada kita nanti, waris kita pun terbela. Sekurang-kurangnya dapatlah ringankan beban keluarga untuk teruskan hidup terutama sekali apabila anak-anak mahu sambung belajar di menara gading,” katanya yang kini menetap di Nilai, Negeri Sembilan.

Sementara itu, isteri pramugara Junaidi Mohd Kassim iaitu Norazlinda Ayub, 51, pula berkata bantuan lebih RM2,700 sebulan yang diterimanya membantu meringankan perbelanjaan keluarga, terutama bagi menampung keperluan dua anaknya yang masih menuntut di IPT.

NORZALINDA Ayub (kiri) bergambar kenangan bersama dua anaknya Hareez Danni Junaidi 23 (tengah) dan Hani Daleeya Junaidi 20. Foto Norazlinda Ayub

“Selepas kehilangan suami, saya perlu kuat dan membina semula kehidupan demi anak-anak. Saya bekerja dalam industri unit amanah, jadi saya bukan bekerja makan gaji dengan waktu kerja 9.00 pagi hingga 5.00 petang kerana pendapatan saya bergantung kepada usaha sendiri.

“Sebagai ibu, saya bersyukur kerana caruman suami sejak dia berkerja dengan MAS Airlines sekitar tahun 1997, telah banyak membantu saya menyediakan keperluan dua anak yang kini berusia 20 dan 23 tahun untuk belajar,” katanya  yang turut mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Lindung Kendiri) Perkeso.

Norazlinda yang kini menetap di Shah Alam, Selangor berkata mencarum bukan sekadar komitmen kewangan, sebaliknya satu bentuk perlindungan diri serta keluarga dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

“Saya berharap lebih ramai lagi masyarakat terutama mereka yang bekerja sendiri, berniaga atau bekerja secara komisen, mengambil tahu tentang perlindungan Perkeso.

GAMBAR kenangan pramugara kanan Malaysia Airlines Wan Swaid Wan Ismail (dua, kiri) Bersama keluarga ketika bersama Hari Raya pada tahun 2010 Foto Nurlaila Ngah

“Jangan fikir perlindungan ini hanya untuk mereka yang bekerja makan gaji. Kita mungkin rasa kita mampu hari ini, tetapi kita tak tahu apa yang akan berlaku esok,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso Azirruan Arifin berkata setakat 31 Ogos tahun ini, sebanyak 50,945 orang merupakan penerima aktif FOT di bawah Akta 4.

“Antara bentuk bantuan yang disediakan ialah bayaran faedah berkala dengan kadar harian bersamaan 90 peratus daripada gaji harian purata anggapan pekerja, tertakluk kepada kadar minimum RM30 dan maksimum RM178.50 sehari serta syarat kelayakan.

“Perlindungan kepada waris pula merangkumi balu atau duda, anak dan kategori tanggungan lain yang layak mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Azirruan berkata Perkeso turut menyediakan kemudahan pinjaman pendidikan kepada anak tanggungan yang layak, manakala Faedah Pengurusan Mayat merupakan faedah sekali bayar hingga RM3,000 bagi menampung kos pengurusan jenazah, tertakluk kepada kos sebenar dan syarat ditetapkan.- Bernama