
BINTULU: Lebih 5,000 peserta membanjiri Bintulu Esplanade pagi tadi bagi memeriahkan Perarakan Niti Daun sempena Sambutan Hari Gawai Dayak Peringkat Daerah Bintulu 2026 yang melibatkan penyertaan sebanyak 73 kontinjen dari pelbagai agensi, persatuan serta komuniti setempat.
Program tahunan itu menyaksikan setiap kontinjen menampilkan kepelbagaian budaya masyarakat Dayak melalui pakaian tradisional, sepanduk serta persembahan kebudayaan yang menjadi tumpuan sepanjang perarakan berlangsung.

Dalam pertandingan perarakan tersebut, kontinjen Lembaga Kemajuan Bintulu dinobatkan sebagai juara, diikuti KEBANA di tempat kedua manakala tempat ketiga menjadi milik Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu.
PPD Bintulu mencatat penyertaan paling ramai apabila menghantar seramai 352 peserta, manakala Lembaga Kemajuan Bintulu merekodkan 200 peserta.

Acara yang bermula seawal 6.00 pagi itu dianjurkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bintulu dengan kerjasama Persatuan SADIA sempena sambutan Hari Gawai Dayak peringkat daerah tahun ini.
Persembahan gendang pampat oleh Persatuan SADIA turut memeriahkan program dan menjadi antara pengisian utama sepanjang acara berlangsung.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Pelabuhan) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Datuk Majang Renggi.
Antara pengisian program termasuk persembahan gendang pampat, upacara miring, pelepasan kontinjen Niti Daun Mantar Gawai Dayak serta sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Sepanjang program berlangsung, keadaan adalah terkawal dengan kerjasama pihak keselamatan dan petugas bagi memastikan kelancaran pergerakan kontinjen dan peserta.
Niti Daun Mantar Gawai Dayak merupakan acara tradisi tahunan yang menjadi simbol kesyukuran serta usaha memelihara adat dan budaya masyarakat Dayak di Sarawak.
Program ini juga bertujuan mengeratkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum serta memperkenalkan keunikan budaya etnik Dayak kepada generasi muda di daerah ini.
Oleh Faizah Muzidi