

KOTA SAMARAHAN: Sebanyak lapan motosikal disita dalam Op Bersepadu Dalaman yang dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan di kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Asajaya, semalam.
Operasi bermula dari 11.00 pagi hingga 2.00 petang itu diketuai seorang pegawai bersama tujuh anggota BSPT dengan bantuan dua anggota Balai Polis Asajaya.
BSPT IPD Kota Samarahan dalam kenyataan berkata, sebanyak 51 motosikal dan 66 individu telah diperiksa sepanjang operasi dijalankan.
“Daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 38 keping saman PDRM (K) 257 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Selain itu, lapan motosikal turut disita di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan dilaksanakan bagi meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya khususnya dalam kalangan pelajar.
Katanya, langkah itu juga bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa berada pada tahap terbaik.
Oleh Shahrul Qaizat