
SIBU: Sambutan Pra-Gawai memainkan peranan penting dalam menyatukan komuniti dan mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum menerusi penghayatan budaya serta semangat kebersamaan.
Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai berkata, penganjuran sambutan itu mencerminkan keunikan masyarakat Sarawak yang hidup dalam suasana harmoni walaupun berbeza latar belakang budaya dan adat resam.
“Program sebegini perlu diteruskan kerana mampu menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim serta memupuk semangat kekeluargaan dalam kalangan penduduk.

“Pra Gawai bukan sekadar menyambut perayaan, tetapi ia melambangkan hubungan erat antara masyarakat. Inilah nilai paling penting yang perlu terus dipelihara di Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pra Gawai Sibujaya 2026 di Pusat Belia Sibujaya di sini, semalam.
Menurut beliau, sambutan yang mendapat penyertaan pelbagai kaum itu turut memperlihatkan budaya saling menghormati dan bekerjasama yang menjadi asas keharmonian masyarakat di negeri ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata pembangunan pesat Sibujaya sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadikan kawasan berkenaan semakin berkembang sebagai pusat penempatan dan komuniti yang aktif di Sibu.
Turut hadir pada majlis itu, Pengurus Kanan Amcorp SibuJaya Sdn Bhd, Nur Baiti Badar.
Oleh Tarani Lanting