SANTUBONG: Lebih 5,000 peminat muzik indie memeriahkan Konsert MYACASA Borneo 2024 yang berlangsung di Kampung Budaya Sarawak (SCV) di sini, malam tadi.
Konsert ini menampilkan persembahan kugiran terkemuka Indonesia, Fourtwnty, yang popular dengan lagu seperti ‘Zona Nyaman’, ‘Aku Tenang’, ‘Fana Merah Jambu’, dan lain-lain.
Fourtwnty, dengan gaya muzik folk-pop yang unik dan lirik penuh makna, berjaya memukau penonton melalui persembahan bertenaga yang sarat emosi.
Penyanyi dan penulis lagu berbakat dari Sarawak, Zee Avi, turut bergabung dengan Fourtwnty mempersembahkan lagu Kantoi, manakala Charita Utami dari Indonesia mempersembahkan lagu Mangu.
Dalam pada itu, konsert ini juga menyediakan gerai makanan dan minuman khas dari Indonesia seperti Bakso, Ayam Geprek, Nasi Uduk Pecel Lele dan Es Cendol.
Pada masa sama, pengunjung yang hadir turut berhibur di pentas mini dengan persembahan dari artis terkenal tanah air, Fimie Don, Heidi Moru, DJ Kun dan Lydbie.
Oleh Mohd Neenatul Aizal